Pages

Ikuti blog ini

"All good books are alike in that they are truer than if they really happened and after you are finished reading one you will feel that all that happened to you and afterwards it all belongs to you; the good and the bad, the ecstasy, the remorse and sorrow, the people and the places and how the weather was."
- Ernest Hemingway -

Isnin, 15 April 2019

Kek Ambon Kelantan yang menggamit memori


Dua minggu lepas saya buat kek kukus. Kami panggil kek ni, kek ambon. Ada yang panggil kek ni ambon Kelantan, apam Kelantan atau apong. Kenapa namanya begitu, saya tak tahu. Namun kek ini memang menggamit memori kerana Umi saya selalu buat kek ini buat kami sekeluarga ketika kecil dahulu. Saki baki adunan yang melekat di mangkuk adunan tentu kami makan sebab sedap dan manis! Saya makin rajin buat kek ini tempoh hari pun dek adik saya minta buatkan sebab sudah lama tak makan. Nak mengimbau kenangan lah tuuuu...!

Kek ini sangat mudah nak dibuat, sebab itu agaknya selalu kek ini dibuat dan sangat pula mudah habis sebab sedap haha! Saya tak pernah nampak pula kek ini dijual di luar Kelantan tapi tak apa, mudah nak dibuat jadi tak perlu beli. Kita beli bahan-bahan sahaja dan buat sendiri. ;)

Ini resepi yang saya guna, diturunkan oleh Umi saya. :)

KEK AMBON KELANTAN

Bahan-bahan:
1 mangkuk telur (pecahkan seberapa banyak telur sehingga penuh mangkuk)
1 mangkuk gula (jika mahu kurang manis kurangkan kepada 2/3 atau 1/2 mangkuk)
1 mangkuk tepung (dicampurkan tepung naik sendiri dan tepung biasa, diayak)
1 sudu kecil esen vanila
pewarna (tak wajib)

Nota: Guna mangkuk yang sama untuk menyukat bahan-bahan.

Cara-cara:
1) Panaskan air di dalam pengukus
2) Sementara menunggu air di dalam pengukus mendidih, pukul telur bersama gula dan esen vanila di dalam satu mangkuk sehingga kembang.
3) Kemudian masukkan campuran tepung yang sudah diayak sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk adunan tadi sehingga sebati.
4) Jika memilih untuk meletakkan warna, bahagikan adunan kepada beberapa bekas mengikut jumlah warna yang dikehendaki. Kemudian campurkan pewarna ke dalam setiap bekas.
5) Secara bergilir-gilir, masukkan adunan yang sudah berwarna ke dalam acuan.
6) Masukkan acuan ke dalam pengukus dan tutup pengukus dengan rapat.
7) Kukus selama lebih kurang 45 minit.
8) Setelah masak, biarkan sejuk sebelum dihidangkan.

Yang mana cuba resepi ini, kongsikan hasilnya nanti ya! Selamat mencuba!